Pele percaya Neymar membuat keputusan tepat untuk keluar daripada bayang-bayang Lionel Messi di Barcelona dengan menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Neymar berhijrah ke PSG, Ogos lalu, selepas gergasi Ligue 1 itu mencetuskan klausa pembelian kontrak bernilai GBP200 juta (RM1.1 bilion) yang secara tidak langsung menjadikan dia sebagai pemain paling mahal di dunia.

Pemain berusia 25 tahun itu telah pun mencetuskan impak di Paris, dengan menyumbat tiga gol dan tiga bantuan jaringan setakat ini.

Pele -- yang dilabelkan sebagai pemain terbaik sepanjang zaman -- menyokong perpindahan rakan senegaranya itu.

"Buat masa ini, Neymar adalah pemain terbaik Brazil. Jadi, saya saya rasakan perpindahan ini sangat bagus kerana dia berdepan saingan daripada Messi di Barcelona," Pele memberitahu Marca.

"Ini peluang yang cukup baik untuk membuktikan kemampuannya yang sebenar. Tetapi tanggungjawab itu bukan mudah untuk dilaksanakan."

Ditanya sama ada Neymar mampu menyertai Rivaldo, (Luiz) Ronaldo, Ronaldinho dan Kaka sebagai pemain Brazil untuk memenangi anugerah Ballon d'OR, Pele menjawab: "Sudah tentu dia mampu.

"Neymar hanya perlukan sebiji bola di kakinya. [Philippe] Coutinho merupakan satu lagi calon yang perlu kita lihat kerana dia beraksi mantap untuk pasukannya. Tetapi buat masa ini, Neymar adalah calon terbaik."

Neymar ketika ini sedang bersama Brazil bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2018 meskipun mereka telah mengesahkan slot ke Russia.