Tonggak Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, meluahkan impiannya untuk beraksi di samping Cristiano Ronaldo yang masa depan di Juventus diselubungi persoalan.

Ronaldo -- meledak gol ke-100 untuk Juventus ketika menang 3-1 di Sassuolo, awal pagi tadi -- disebut-sebut akan meninggalkan gergasi Serie A itu pada hujung musim ini.

Justeru, pemenang lima Ballon d'Or itu dikaitkan ke kelab ibu kota Perancis berkenaan selain bekas kelab Manchester United dan Real Madrid.

Neymar -- yang menandatangani kontrak baru dengan juara bertahan Ligue 1 tersebut -- meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan bintang Portugis itu memandangkan dia pernah bergandingan dengan Lionel Messi di Barcelona.



"Saya mahu beraksi di samping Cristiano Ronaldo," kata pemain Brazil berusia 29 tahun itu kepada GQ.

"Saya pernah bergandingan dengan pemain hebat seperti Lionel Messi dan Kylian Mbappe, tetapi saya belum pernah bermain dengan Cristiano Ronaldo."

Neymar memeterai kontrak baru hingga 2025 selepas tiba dari Barcelona dengan perjanjian lima tahun menerusi bayaran rekod dunia €222 juta (RM1 bilion) pada Ogos 2017.

Neymar dilaporkan akan menikmati gaji baru sebanyak £26 juta (RM150j) setiap musim di Paris di mana dia telah menyumbangkan lapan gol Ligue 1 dalam 16 koleksi jaringan yang diledak musim ini.