AMERIKA SYARIKAT 0 BRAZIL 2

Neymar memakai lilitan ketua pasukan dan menjaringkan satu gol ketika Brazil menundukkan Amerika Syarikat 2-0 dalam aksi persahabatan pertama selepas Piala Dunia 2018, sebentar tadi.


Pengendali Brazil, Tite, memberikan tanggungjawab kapten secara tetap buat Neymar selepas menamatkan sistem giliran dan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tampak menikmatinya dengan permulaan cemerlang di New Jersey apabila meraih kemenangan hasil dua gol dalam babak pertama.

Roberto Firmino melebarkan kutipan jaringan di peringkat antarabangsa kepada lapan gol menerusi voli pada minit ke-11 sebelum Neymar menambah pendahuluan hasil sepakan penalti dua minit sebelum rehat, di mana keputusan pengadil mencetuskan kontroversi tatkala Fabinho hanya mengalami sedikit sentuhan.

Amerika Syarikat tampil tanpa sebarang peluang, menyaksikan Weston McKennie sentiasa meraih ruang tetapi tuan rumah tetap gagal untuk menyudahkannya di depan sokongan padu penyokong di Stadium MetLife, di mana pemain tengah Barcelona, Arthur, dan penggempur Everton, Richarlison, melakukan penampilan pertama di peringkat antarabangsa.

Aksi di New Jersey itu menjadi satu evolusi baru buat Brazil sejak penyingkiran dalam suku akhir Piala Dunia setelah Neymar, Alisson, Philippe Coutinho dan Thiago Silva kekal daripada kesebelasan utama sewaktu tunduk di tangan Belgium.

Pengurus Amerika Syarikat, Dave Sarachan, yang mengemudi pasukannya mengekang juara dunia, Perancis, pada Jun lalu tampak terus memberi kepercayaan kepada pemain muda, di mana bintang PSG, Timothy Weah, berada di bangku simpanan.

Brazil mempamerkan taring sejak awal permainan selepas skuad Selecao itu mengawal tempo dan memecah kebuntuan ketika permainan baru berusia 11 minit.

Douglas Costa memulakan gerakan, melepasi kawalan benteng tuan rumah sebelum membuka ruang untuk Firmino melepaskan sepakan voli dari jarak enam ela di dalam kotak penalti.

Tuan rumah bergelut untuk mendapatkan kawalan bola ketika berdepan Brazil yang jelas lebih teratur tetapi mereka berpeluang untuk menyamakan ketika babak pertama berbaki 10 minit, namun Alisson menafikan percubaan jarak dekat McKennie.

Anak-anak buah Sarachan diberi tamparan hebat daripada keputusan pengadil yang menganugerahkan sepakan penalti sehingga mengejutkan pemain-pemain serta semua penyokong.

Pemain baru Liverpool, Fabinho, dilihat terjatuh walaupun hanya menerima sentuhan yang minimum dan Neymar yang tidak menghiraukan protes pihak lawan tenang menyempurnakan sepakan itu.

Fred hampir membantu Brazil menjadikan kedudukan 3-0 selepas dua minit permainan bersambung tetapi hantarannya buat Firmino dipintas oleh penjaga gol, Zack Steffen, sambil rembatan Neymar dikeluarkan di atas garisan gawang, empat minit kemudian.

McKennie, yang hampir mencatat jaringan dalam babak pertama, sekali lagi teerlepas peluang untuk menghadiahkan gol buat Amerika Syarikat dan gagal menyekat Brazil daripada meraih kemenangan ke-18 dalam 19 pertemuan.