Neymar berterima kasih kepada rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, kerana banyak membantunya untuk menyesuaikan diri dengan Ligue 1 sambil berkata pemain itu telah mengajarnya untuk menjadi orang Perancis.

Pemain kebangsaan Brazil berusia 29 tahun itu telah bersama PSG sejak 2017 dan memenangi pelbagai gelaran termasuk tiga kejuaraan Ligue 1 dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Neymar mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan pemain berusia 22 tahun, Mbappe, yang telah bergandingan dengannya sejak penyerang itu meninggalkan Monaco pada 2017.

"Dia banyak mengajar saya tentang bagaimana untuk menjadi orang Perancis... Dia menjelaskan kepada saya mengenai mentaliti orang Perancis," kata Neymar kepada France Football.

"Saya banyak terhutang budi kepadanya dalam proses penyesuaian diri saya dan selain itu, perasaan bahagia saya untuk berada di sini."

Neymar turut menghamburkan pujian menggunung mengenai perwatakan Mbappe sama ada di atas mahupun di luar padang sambil melabel pemain itu sebagai "budak emas PSG".

"Pertama sekali, saya amat tersentuh dengan perwatakannya. Kylian seorang yang amat bertimbang rasa, sentiasa ceria, sopan dan baik kepada semua orang.

"Dia seorang yang amat baik. Kerana itulah kami dapat menjadi akrab sejak kali pertama kami bertemu.

"Kemudian, sudah pasti, saya berpeluang untuk melihatnya berlatih, untuk menyaksikan kepantasannya, kemahiran gelecekannya, kebijaksanaannya dan melihat sikap rendah dirinya untuk terus berkembang.

"Saya boleh katakan bahawa dia budak emas kami," katanya.