Barcelona menghentikan rundingan perpindahan Neymar sejurus Paris Saint-Germain (PSG) mengubah tuntutan mereka, dedah Josep Maria Bartomeu.

Neymar dikaitkan bakal kembali ke Camp Nou sepanjang jendela perpindahan lalu, dengan jaguh Ligue 1 itu secara terbuka mengesahkan bintang Brazil berkenaan ingin meninggalkan Parc des Princes.

Begitupun, ia gagal direalisasikan sementara Neymar akan kekal sebagai sebahagian daripada skuad bimbingan Thomas Tuchel itu dengan Presiden Barcelona, ​​Bartomeu, memutuskan tidak akan melancarkan bidaan pada Januari depan.

Bartomeu mendedahkan proses itu terjejas teruk walaupun Pengarah Sukan PSG, Leonardo, memberi bayangan bahawa kelab yang berpangkalan di Perancis itu bersedia melepaskan bintang berusia 27 tahun itu.

Bagaimanapun, presiden itu mendakwa bahawa langkah perpindahan itu gagal dimuktamadkan sebaik PSG mengubah permintaan mereka.

"Dia bukan keutamaan kami dalam jendela perpindahan musim sejuk," kata Bartomeu dalam temu bual dengan laman sesawang Barcelona. "Perancangan untuk musim depan dilakukan pada Januari, Februari kelak.

"Itulah masanya kami akan kembali bercakap soal topik itu tetapi tidak sekiranya PSG terus meletakkan angka yang tinggi.

"Kami mendapat tahu bahawa Neymar mahu meninggalkan PSG pada saat ketika Leonardo membuka pintu rundingan, termasuklah kepada kelab lain juga.

"Tetapi ketika berbincang, tawaran baru PSG sukar kami penuhi. (Jadi) kami memutuskan untuk menghentikan perbincangan.

"Ini merupakan satu bentuk keputusan kesukanan, pasukan teknikal berkata kami harus cuba untuk menandatanganinya, dia akan menjadi 'perisa tambahan' buat skuad kami tetapi kami gagal mencapai kesepakatan kerana kami tidak dapat memenuhi permintaan PSG."

Beberapa pemain Barcelona -- termasuk Ivan Rakitic, Ousmane Dembele dan Philippe Coutinho -- dikaitkan dalam pertimbangan dalam perjanjian berkenaan, namun Bartomeu menegaskan nama-nama tersebut tidak pernah dikemukakan oleh kelabnya.

"Barca tidak pernah menawarkan nama-nama pemain sedangkan mereka yang dinamakan oleh PSG," katanya lagi. "Kami tidak dapat memenuhi tuntutan mereka."

Walaupun Neymar tidak tiba, Barca menghabiskan €120 juta (RM558.4j) ke atas Antoine Griezmann, sementara Frenkie de Jong -- yang ditandatangani dari Ajax, Januari lalu -- memuktamadkan langkahnya dengan nilai €75j (RM349j).

Barca bermula hambar dalam permulaan kempen LaLiga susulan kekalahan kepada Athletic Bilbao sebelum meraih kemenangan 5-2 ke atas Real Betis, namun hanya mampu seri 2-2 dengan Osasuna.