Neymar adalah pemain hebat dan kini setaraf Cristiano Ronaldo serta bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi, kata legenda Brazil, Zico.

Penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu gagal berada dalam kelompok 10 terbaik bagi anugerah Ballon d'Or 2018 selepas bergelut untuk memberi impak dalam Piala Dunia serta terlepas penghujung musim lalu akibat patah tulang metatarsal.

Messi turut terlepas podium tatkala dia dan Ronaldo masing-masing telah mengungguli anugerah itu sebanyak lima kali. Namun, untuk tahun 2018, bintang Portugal itu berada di tempat kedua di belakang pemain tengah Real Madrid dan Croatia, Luka Modric.

Neymar sering digunakan selaku penyerang kedua buat PSG oleh pengurus baru, Thomas Tuchel, musim ini walaupun lebih menyinar sebagai pemain sayap ketika awal karier dan Zico melihat ia sebagai posisi paling sesuai buatnya.

Zico, kini pengarah Kashima Antlers, yang telah membintangi skuad Brazil ketika era 70-an dan 80-an, berasa Neymar patut dilihat setaraf Ronaldo dan Messi.

"Neymar bukan penyerang kedua," kata Zico kepada Omnisport.

"Dia adalah pemain sayap. Kelab memberikan dia peranan penyerang kedua kerana ia lebih memberi makna buat seorang pemain Brazil.

"Mungkin pemain yang menyinar untuk posisi itu adalah Romario, penyerang yang dilahirkan selaku pemain sayap. Namun, setiap penggempur daripada semua kelab memilih peranan penyerang kedua kerana ia membariskan nama lebih besar buat pasukan.

"Jadi, jersi nombor 10 lebih memiliki tugas besar, bukan sahaja untuk skuad kebangsaan tetapi di Brazil, ia satu rujukan utama. Neymar adalah bintang utama, jadi dia menerima jersi itu.

"Saya rasa Neymar melalui situasi ini dan dia lebih tertekan. Setiap pemain hebat lebih menyinar dalam kemenangan tetapi lebih tertekan ketika tewas. Namun, dia pemain yang bagus. Dia memiliki bakat yang dimiliki sebilangan kecil pemain dalam dunia bola sepak. Saya meletakkannya setaraf Ronaldo dan Messi."

"Jersi nombor 10 bukan untuk pasukan Brazil tetapi ia milik Pele," tambah Zico.

"Pele adalah pemain terhebat dalam sejarah bola sepak dunia! Itu masalahnya.

"Semua orang berfikir bahawa sesiapa yang menggunakan jersi tersebut akan melakukan sama seperti Pele! Ia mengganggu pemain."