Kelab Ligue 1, Paris-Saint Germain (PSG), akhirnya berjaya mendapatkan bintang sensasi Brazil, Neymar, selepas pemain berusia 25 tahun itu melengkapkan perpindahan rekod dunianya bernilai GBP198 juta (RM1.1 bilion) dari gergasi Sepanyol, Barcelona.

Penghijrahan Neymar ke PSG itu nyata memperbaharui rekod baru pembelian selepas Manchester United mendapatkan Paul Pogba dari Juventus dengan nilai GBP89 juta (RM500 juta) pada tahun lalu.

Bekas pemain Santos itu menandatangani kontrak yang akan mengekalkannya di ibu kota Perancis itu selama lima tahun dan bakal menerima pendapatan GBP27 juta (RM151 juta) setahun.

“Sejak saya tiba di Eropah, pasukan ini sentiasa menjadi salah satu kelab yang memberikan saingan serta menunjukkan keinginan tinggi.

" Mendapatkan kejuaraan untuk peminat PSG menjadi motivasi untuk saya tiba di sini,” kata Neymar.

“Saya sudah bermain empat tahun di Eropah, jadi saya rasa sudah bersedia,” katanya.

Dia bakal menyertai bekas rakan sepasukan di Camp Nou, Dani Alves, serta dua rakan senegara, Marquinhos dan Thiago Silva.