Neymar mungkin menamatkan kemenangan 2-0 Brazil ke atas Costa Rica dengan tangisan tetapi rakan sepasukannya, Gabriel Jesus, berpendapat pemain itu memberikan kegembiraan kepada dunia.

Calon juara Piala Dunia 2018 itu berdepan kemungkinan meraih keputusan seri kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan E sebelum gerakan Jesus memecah kebuntuan pada minit ke-91 sambil Neymar mengesahkan kemenangan selepas menyempurnakan hantaran Douglas Costa.

Dalam aksi itu, Neymar mempamerkan aksi bergaya apabila melakukan gerakan 'rainbow flick' melepasi kepala pemain Costa Rica, Yeltsin Tejeda, sebelum dilihat menangis kegembiraan selepas wisel penamat dibunyikan.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjelaskan melalui laman Instagram miliknya bahawa tangisan itu terjadi selepas dirinya mengharungi keperitan untuk pulih daripada kecederaan patah tulang yang dialami pada Februari lalu dan Jesus percaya bahawa rakan sepasukannya itu adalah pemain yang berharga.

"Neymar sentiasa bagus dan gembira," kata Jesus.

"Dia menghadirkan kegembiraan buat kami dalam pasukan serta seluruh penduduk Brazil, bukan hanya kerana bola sepak tetapi melalui perwatakannya.

"Kami harus menghargai idola kami dan percaya kepada mereka sehingga ke minit yang terakhir."

Dalam masa sama, Jesus juga berpendapat posisi penggempur utama pasukan Brazil yang disandangnya bukan satu jaminan, terutama setelah kehadiran Roberto Firmino sewaktu berdepan Costa Rica memberikan impak buat Selecao.

"Sesuatu yang normal apabila peluang buat dua orang pemain beraksi dalam skuad kebangsaan dibandingkan.

"Ia adalah keputusan ketua jurulatih, Tite, untuk membuat keputusan siapa yang layak bermain. Peluang kami seimbang.

"Saya berharap agar tidak kira sama ada Firmino atau saya yang beraksi, kami akan dapat beraksi dengan baik."