Pengendali Brazil, Tite, melabel Neymar salah seorang daripada tiga pemain terbaik dunia dan yakin penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu sudah bersedia untuk turun beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

Neymar tidak tampil beraksi untuk kelab dan negaranya sejak mengalami kecederaan buku lali sebelum menghadapi saingan Copa America, Julai lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 itu sebahagian daripada skuad Brazil yang akan berdepan Colombia di Miami dan dijangka beraksi di Stadium Hard Rock.

"Dia telah pulih daripada kecederaan yang dialami sebelum saingan Copa America," kata Tite.

"Jika Neymar tidak cergas, dia tidak akan bersama kami dan bersedia untuk diturunkan."

Walaupun muncul juara Copa America tanpa kehadiran Neymar, Tite menegaskan bekas bintang Barcelona itu memiliki peranan penting kerana memiliki aura yang sama seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

"50 peratus jaringan yang dihasilkan oleh Brazil dengan kehadiran Neymar di atas padang kerana dia turut meledak gol dan melakukan bantuan jaringan. Dia memerlukan pasukan dan pasukan ini perlukan Neymar.

"Daripada sudut kualiti teknikal, saya meletakkan Lionel Messi di atas dan Cristiano Ronaldo kerana mereka daripada generasi yang berbeza.

"Neymar dan Eden Hazard merupakan dua pemain berkualiti bagi saya. Sukar diatasi dan cepat melakukan keputusan."

Vinicius Junior turut kembali bersama Brazil untuk berdepan Colombia dan Peru selepas tidak beraksi dalam Copa America ekoran kecederaan buku lali.

Pemain berusia 19 tahun itu bergelut mendapatkan permainan konsisten sejak menyertai Real Madrid dari Flamengo tahun lalu tetapi Tite meminta untuk bersabar terhadap perkembangan pemain itu.

"Aksi kurang konsisten daripada pemain muda bukanlah sesuatu perkara yang normal.

"Saya banyak bercakap dengan Vinicius dan dia merupakan seorang pemain yang berbakat. Pemain yang sangat pantas.

"Dia perlu memperkemaskan setiap pergerakan dan tekniknya dan semestinya mampu berada dalam kalangan pemain terbaik dunia."