Neymar mendakwa Miranda dikasari ketika Switzerland menyamakan kedudukan bagi menafikan kemenangan Brazil dalam perlawanan pembukaan mereka dalam Piala Dunia dan penyerang bintang itu juga menggesa pengadil agar menawarkan perlindungan lebih baik selepas dia menerima layanan buruk di Rostov-on-Don.

Steven Zuber dilihat menolak Miranda sebelum menjaringkan gol dalam babak kedua yang menyaksikan pasukan kendalian Tite itu seri 1-1 dalam pertembungan Kumpulan E di Rostov Arena, awal pagi tadi.

Jurulatih Selecao itu menegaskan jaringan Switzerland itu sepatutnya tidak disahkan oleh pengadil, Cesar Ramos, dan Neymar bersetuju dengan penilaian itu.

"Saya rasa ia kesalahan," katanya.

"Apabila kamu melihat saat itu (dalam ulangan), orang meraikan gol ... Saya melihatnya sekali lagi tetapi bukan untuk saya membincangkannya, ada empat individu profesional yang bekerja untuk itu.

"Kami tidak layak menamatkan saingan dengan seri. Tetapi kami boleh memperbaikinya, kami boleh bermain dengan lebih baik. Tetapi perlawanan itu membuktikan kepada kami bahawa ia tidak akan mudah."

Neymar, yang bermain dalam perlawanan kompetitif pertamanya sejak mengalami patah tulang metatarsal pada Februari lalu, kelihatan terhincut-hincut beberapa saat dalam perlawanan tetapi pemain berusia 26 tahun itu menimbulkan kebimbangan bahawa dia mengalami masalah kecergasan lain.

"Saya terkena dan sakit, tetapi tidak perlu bimbang... selepas badan kamu tenang, ia semakin sakit tetapi itu OK," katanya.

Menurut Opta, Neymar menjadi pemain yang paling kerap dikasari dalam perlawanan Piala Dunia selepas pemain England, Alan Shearer, ketika menentang Tunisia pada 1998, dengan penyerang Selecao itu dikasari 10 kali oleh pemain Switzerland sepanjang permainan.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk mengatakan tentangnya," katanya.

"Apa yang perlu saya lakukan adalah bermain bola sepak, atau cuba melakukannya. Ia untuk pengadil melihatnya. Saya rasa itu akan normal (kerap dikasari), kami perlu beri perhatian kepadanya tetapi itulah sesuatu yang normal dalam bola sepak. "

Brazil melepaskan beberapa peluang untuk meraih kemenangan pada hujung permainan dan pemain pertahanan, Thiago Silva, mengakui pasukan itu sepatutnya lebih klinikal dalam serangan.

"Saya rasa kami boleh melakukan dengan baik menerusi hantaran terakhir, itu benar," katanya.

"Tetapi itulah masanya, kamu akhirnya mengambil keputusan, kadang-kadang bukan yang terbaik tetapi hanya mereka yang berada di sana mengetahui betapa sukarnya bermain pada saat-saat ini.

"Tetapi paling penting adalah kami mempunyai ketenangan agar dapat pulih dengan baik dan kembali bersama bagi perlawanan seterusnya," ujarnya lagi.