Neymar diketepikan daripada perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) menentang Nantes dalam Ligue 1 hujung minggu ini dan masih belum pasti dapat diturunkan bertemu Manchester City dalam pertemuan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu depan, demikian dilaporkan.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak dapat menyertai perlawanan Brazil menentang Argentina dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, Selasa lalu berikutan kecederaan adductor yang dialaminya ketika menewaskan Colombia 1-0 empat hari sebelum itu.

L'Equipe melaporkan semalam bahawa Neymar telah menjalani pemeriksaan sebaik pulang ke Perancis dan dilihat belum cukup cergas untuk mengambil bahagian dalam perlawanan menentang Nantes di Park des Princes.

Kecederaan itu turut menyaksikan Neymar belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan blokbuster Kumpula A, UCL di antara PSG dan City.

City kendalian Pep Guardiola kini sedang menduduki tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata dan PSG pula ketinggalan satu mata di tangga kedua -- lebih empat mata berbanding pasukan di tangga ketiga, Club Brugge.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa Marco Verratti (kecederaan pinggul) dan Presnel Kimpembe (paha) mengambil bahagian dalam sesi latihan selama dua hari berturut-turut dan kelihatan akan dapat diturunkan hujung minggu ini