Neymar akan membarisi kesebelasan utama Brazil dalam aksi persahabatan menentang Austria malam ini selepas disahkan oleh pengurus pasukan, Tite.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu melakukan penampilan pertama minggu lalu sejak mengalami kecederaan patah tulang metatarsal pada Februari lalu, apabila masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Croatia di Anfield.

Dia menggantikan Fernandinho dalam babak kedua dan kini bakal diberi kepercayaan oleh Tite tatkala pengendali itu mahu melakukan perubahan menjelang aksi pertama Piala Dunia 2018 menentang Switzerland.

Perubahan itu bakal menyaksikan Philippe Coutinho beralih ke posisi tengah bersama Paulinho sambil Casemiro bertindak selaku pemain tengah bertahan serta Neymar dan Willian akan beraksi di bahagian sayap.

"Dia dijangka berada dalam perancangan. Sejauh mana perubahan dilakukan, saya tidak pasti tetapi Neymar pasti tidak akan beraksi sepenuh perlawanan," kata Tite.

"Kami melihat perkembangan dalam sesi latihan, perlawanan dan tahap keyakinannya.

"Saya memberitahunya agar berhenti bersaing dan cara terbaik untuk menemui sentuhan adalah melakukan latihan yang gigih dan berkualiti."

Dalam masa sama, Tite juga mengesahkan bahawa Fred akan kekal direhatkan selepas mengalami kecederaan buku lali.