PSG 5 GALATASARAY 0

Cara Neymar memberikan Edinson Cavani peluang menjaringkan gol sepakan penalti pada lewat permainan membuktikan pasukan yang dipenuhi pemain bintang seperti Paris Saint-Germain (PSG) boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, kata Thomas Tuchel.


PSG menamatkan kempen Kumpulan A, Liga Juara-Juara Eropah dengan menewaskan Galatasaray 5-0 di Parc des Princes awal pagi tadi.

Bintang Brazil, Nyemar, merupakan pemain paling menyerlah dengan menghasilkan dua bantuan gol dan satu jaringan.

Neymar boleh menggandakan jaringannya selepas Kylian Mbappe -- yang menjaringkan gol keempat PSG -- dijatuhkan oleh Ryan Donk dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, bekas penyerang Barcelona itu menyerahkan bola kepada Cavani, yang tidak mensia-siakan peluang itu untuk menewaskan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Urugay, Fernando Muslera, bagi menjaringkan gol pertamanya buat kelab itu sejak Ogos lalu.

Cavani dan Neymar pernah bertelagah untuk mengambil sepakan penalti ke atas Lyon tidak lama selepas bekas kapten Brazil itu menyertai PSG pada 2017, yang diakhiri dengan sepakan yang melambung tinggi oleh Cavani.

Namun, kedua-dua pemain itu membuktikan perselisihan berkenaan telah lama dilupakan.

"Ia gambaran yang menarik," kata Tuchel dalam sidang media.

"Semua dapat melihatnya, Ney amat sensitif. Dia memberikan bola kepada Edi dan ia merupakan simbol terbaik buat pasukan ini.

"Neymar pemain yang amat penting dan amat bagus ketika di Montpellier (PSG menang 3-1 hujung minggu lalu).

"Dia amat berharga buat kami dan semakin bagus.

"Dia bekerja keras hari ini, memenangi banyak bola dan bertahan dengan baik.

"Dia sedang mendapatkan kemuncak pretasi. Ia semakin mudah buatnya.

"Cavani kekurangan rentak dan ia disebabkan saya dan kecederaannya.

"Amat penting untuk dia menjaringkan gol.

"Ia cara terbaik untuk mendapatkan keyakinan dan saya amat gembira buatnya," katanya.

PSG menamatkan saingan Kumpulan A dengan 16 mata, lebih lima mata berbanding pasukan di tangga kedua, Real Madrid, yang ditewaskan mereka 3-0 dalam perlawanan pertama.

Juara Ligue 1 itu -- yang disingkirkan Manchester United dalam pusingan 16 musim lalu -- akan mengetahui lawan mereka yang seterusnya dalam majlis undian Isnin ini.