Wesley Sneijder menjelaskan perpindahan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) tiada kaitan dengan keputusannya untuk beraksi dalam Ligue 1 bersama Nice.

Bintang Belanda itu dilaporkan menandatangani kontrak selama setahun untuk menyertai skuad bimbingan Lucien Favre semalam selepas meninggalkan Galatasaray.

Bekas pemain Inter dan Real Madrid itu merupakan antara pemain ternama yang berhijrah ke Perancis selepas beberapa hari Neymar menyempurnakan perpindahan ke PSG dari Barcelona dengan yuran EURO222 juta (RM1.1 bilion).

Tetapi Sneijder menegaskan ia merupakan perancangan yang telah disediakan oleh Nice, bukan kerana mahu mengikut jejak langkah Neymar atau bekas penyerang PSG, Zlatan Ibrahimovic.

"Bakat dan pemain-pemain yang berkualiti membantu liga untuk berkembang, tetapi saya tidak tiba di sini untuk melakukan perkara itu," kata Sneijder.

"Perkara paling utama adalah pasukan saya, mereka memiliki pemain-pemain yang bagus dan mentaliti yang kuat.

"Itu faktor saya menyertai pasukan ini, bukan kerana Ibrahimovic atau Neymar ke sini."

Sneijder turut menafikan bahawa bekas rakan sepasukannya di Inter, Mario Balotelli, dikatakan telah memujuknya untuk ke Nice.

"Saya masih lagi seorang pemenang. Saya benci dengan kekalahan, itu diri saya. Saya masih lagi mahu membuktikan kebolehan saya.

"Saya mengenali Balotelli tetapi saya tidak bercakap dengan pemain lain untuk membuat keputusan. Saya berbincang dengan jurulatih dan pengarah pasukan ini."

Nice telah diundi berdepan Napoli dalam aksi play-off Liga Juara-Juara (UCL), dengan Sneijder yang menjulang gelaran itu ketika meraih treble bersama Inter pada 2009-2010, berkata mereka mampu menewaskan skuad bimbingan Maurizio Sarri itu.

"Saya mengenali Napoli dan kami berpeluang untuk menang. Perkara yang paling penting adalah keyakinan pada kekuatan diri sendiri.

"Pada 2010, kami tidak menyangka mampu menjulang UCL tetapi kami telah berjaya melakukannya."