Thomas Tuchel percaya Neymar akan terus meningkat meskipun telah menghasilkan satu lagi gol kemenangan buat Paris Saint-Germain (PSG) dan yakin penggempur itu 100 peratus akan kekal bersama pasukan.

Neymar pantas melupakan spekulasi perpindahan keluarnya dari Paris apabila menjaringkan dua gol lewat untuk memberikan kemenangan buat PSG, termasuk kemenangan 1-0 ke atas Lyon, awal pagi tadi.

Tuchel berkata penggempur Brazil itu akan meningkat di PSG yang kini memiliki kelebihan tiga mata di puncak carta Ligue 1.

"Dia masih boleh meningkat. Ini baru aksi kedua atau ketiganya dalam tempoh empat bulan," ujar pengendali itu.

"Dia masih boleh memperbaiki persembahan dan tampil lebih baik kerana dia akan meningkatkan aspek fizikal tetapi Neymar sentiasa berusaha. Dia sentiasa mahu maju ke depan.

"Kami perlukan pemain seperti itu dalam aksi sukar sebegini untuk memberi perbezaan dalam situasi satu lawan satu."

Neymar dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona ketika musim panas lalu tetapi akhirnya kekal di Paris.

Tuchel berkata pemain berusia 27 tahun itu komited bersama PSG meskipun mahu berhijrah ke Barca.

"Dia memiliki kontrak, jadi dia 100 peratus akan bersama kami," tambahnya.

"Saya boleh mengesahkan dia akan 100 peratus bersama kami di dalam dan luar padang. Dia banyak ketawa bersama rakan sepasukan dan ia bagus untuk skuad.

"Dia datang ke sini untuk menghasilkan gol, mencipta perkara hebat dan saya sangat mengharapkannya."