Selepas Piala Dunia Russia 2018 kehilangan dua bintang utamanya Ahad lalu, Neymar memastikan dia tidak menyertai penyingkiran pemain berbakat besar apabila membawa Brazil ke suku akhir, dua hari kemudian.

Aksi pada hujung minggu lalu menyaksikan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tunduk dalam pertandingan itu, berselang beberapa jam di antara satu sama lain.

Lantaran itu, bintang Selecao berkenaan ingin mengelak ditimpa nasib serupa dengan menjaringkan satu gol serta mencipta gerakan jaringan dalam kemenangan 2-0 ke atas Mexico di Samara, malam tadi.

Kedua-dua bintang dunia itu disingkirkan setelah harapan Argentina dan Portugal masing-masing dimusnahkan oleh Perancis dan Uruguay -- Kylian Mbappe dan Edinson Cavani mencuri perhatian untuk menenggelamkan aura Messi dan Ronaldo dalam kempen kali ini.

Dalam sidang media malam tadi, Thiago Silva merujuk kepada persembahan cemerlang dua rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG) itu selain menyatakan harapannya untuk melihat mereka meneruskannya.

"Mereka berdua merupakan watak penting dalam kemenangan mereka," katanya. "Nama PSG diwakili dengan baik tetapi kita bercakap tentang pasukan kebangsaan.

"Buat masa ini, penyerang kami mempunyai kebebasan untuk melakukan dengan baik apa yang mereka mahu dan kami berharap esok adalah hari yang hebat dan Neymar boleh mencetuskan ilham, sama seperti pemain lain."

Begitupun, Neymar tidak semestinya dituntut menampilkan watak sama seperti rakan-rakannya di PSG.

Dalam tempoh pembukaan 20 minit pertama, Brazil di bawah tekanan sehingga menuntut bintang nombor 10 mereka itu untuk membantu Filipe Luis berurusan dengan ancaman besar yang dihadirkan Hirving Lozano.

Sebelum ini, Tite memuji tugas bertahan Neymar dalam kemenangan ke atas Serbia, namun peranan itu bukanlah yang dikehendaki oleh jurulatihnya.

Pada pertengahan babak pertama, Neymar -- seiring dengan Brazil -- mula mendapat rentak dan memperdayakan dua pemain sebelum melepaskan percubaan untuk menguji Guillermo Ochoa sebagai petanda bahawa dia mula bangkit.

Sumbangan pertamanya tiba enam minit selepas rehat yang menyaksikan Willian berlari di sebelah kiri dan menghantar bola leret yang gagal disambar Gabriel Jesus, namun dapat disempurnakan oleh Neymar.

Jaringan itu adalah yang keenam buat Neymar dalam Piala Dunia daripada 38 percubaan yang dilancarkan. Sebagai perbandingan, Messi memerlukan 67 percubaan untuk mencapai jumlah itu sementara Ronaldo memerlukan 74.

Mutu persembahannya tetap mencuri tumpuan -- Miguel Layun menerjah keras pergelangan kakinya yang mencetuskan reaksi dramatik dengan berguling-guling.

Tindakannya itu bukan sesuatu yang diterima baik oleh ramai peminat, apatah lagi Andres Guardado dari Mexico mengulas corak permainannya dengan menyatakan kecenderungan Neymar yang gemar "membesar-besarkan" terjahan sehingga mendorong rakan sepasukan, Casemiro, meluahkan sokongan dengan menegaskan pemain itu mampu mengendalikan sebarang kritikan.

Sebagai pemain termahal di dunia dan boleh dikatakan satu-satunya pemain yang mempunyai peluang realistik untuk mencabar dominasi Messi dan Ronaldo dalam Anugerah Ballon d'Or, Neymar perlu mengimbangi cabaran dan dan kritikan yang adil.

Dia berdepan ujian hebat Mexico sebelum memuktamadkan perlawanan itu dua minit sebelum wisel ditiupkan dengan mencipta gerakan untuk Roberto Firmino menyempurnakannya dengan tampanan mudah.

Tentu sahaja cabaran selanjutnya menanti Neymar -- Belgium menunggu dalam babak lapan terakhir -- tetapi pada masa ini Neymar boleh menjadi inspirasi negaranya untuk meraih kegemilangan di pentas dunia dan menenggelamkan dua seteru handalan itu yang terkandas awal.