Neymar menegaskan bahawa dia berasa jauh lebih baik di Paris Saint-Germain (PSG) berbanding pengalaman yang pernah ditempuhinya apabila membalas kritikan yang menuduhnya kurang profesional.

Bintang Brazil itu berpindah ke PSG daripada Barcelona pada 2017 dengan memecahkan rekod perpindahan dunia menerusi bayaran €222 juta (RM1 bilion).

Dia bergelut untuk menetap di ibu kota Perancis itu dan kerap dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Sepanyol, Barca mahupun pesaing utama, Real Madrid.

Masalah kecederaan pada saat-saat penting dan persoalan mengenai tahap komitmennya terhadap kelab itu menambahkan lagi suasana negatif di sekitarnya, tetapi persepsi berkenaan semakin terhakis dalam 18 bulan terakhir.

Pemain berusia 29 tahun itu membintangi PSG ketika mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) Ogos lalu buat pertama kalinya yang menyaksikan mereka tewas kepada Bayern Munich, malah dia juga memainkan peranan besar ketika mereka menumpaskan lawan yang sama dalam separuh akhir musim ini.

Neymar diharap akan memperbaharui kontraknya yang akan berakhir tahun depan dalam misinya meninggalkan legasi manis di Parc des Princes.

Walaupun belum mahu membincangkan mengenai kesepakatan baru, Neymar pada hari ini menyatakan banyak perkara telah berubah menjadi lebih baik sejak kehadirannya empat tahun yang lalu.




"Saya telah membangkitkan perkara ini dalam perlawanan terakhir. Saya rasa tidak perlu mengulasnya lebih lanjut lagi," katanya ketika ditanya mengenai pembaharuan kontraknya.

"Kontrak saya di PSG masih panjang. Kami mahu melakukan yang terbaik buat semua orang. Saya sudah mengatakan bahawa saya gembira di sini dan saya berasa jauh lebih baik daripada musim lalu.

"Sejak tiba di sini, kelab ini bertambah baik. Kelab ini lebih dihormati. Apabila orang bercakap mengenai PSG ketika ini, mereka tahu ia adalah antara empat, lima atau enam pasukan terbaik dalam kalangan semua liga.

"PSG kini menerima penghormatan yang selayaknya. Ini adalah tahun kedua berturut-turut kami layak ke separuh akhir UCL dan tahun lalu, kami muncul naib juara. Tahun ini, kami akan melakukan segalanya untuk merebut trofi.

"Ketika ini saya menyertai PSG, saya ada mengatakan bahawa keutamaan kami adalah UCL, berjuang untuk memenanginya dan menjadi antara yang terbaik. Kami mara ke final tahun lalu buat pertama kalinya dalam sejarah kelab ini. Kini kami sudah berada di peringkat separuh akhir.

"Ini bererti kami telah bertambah baik dan ia bergantung kepada semua pihak, barisan kejurulatihan dan saya rasa kami mempunyai segala yang diperlukan untuk menjadi juara. Kami meniti jalan yang tepat. Suasana di sini hebat.

"Sudah tentu ada aspek di mana saya mampu bertambah baik apabila menyertai PSG. Saya juga mengalami beberapa saat sukar untuk mengatasinya selain perkara-perkara yang diketahui ramai. Saya rasa saya telah bertambah baik dan perkara-perkara seperti ini mula bertambah baik dan menjadi lebih baik.

"Saya selalu bekerja keras. Saya sering gigih berlatih dan bersikap profesional. Saya tidak pernah melakukan perkara yang tidak profesional.

"Walaupun ramai orang mengatakan sebaliknya, saya selalu bekerja keras, tetap fokus dan saya membuktikannya di atas padang.

"Ketika saya berada di luar sana, saya cuba menunjukkan apa yang saya mampu dan membantu pasukan."