Pengarah Sukan, Paris Saint-Germain (PSG), Antero Henrique, menyatakan bahawa Neymar akan kekal bersama pasukan itu bagi musim depan.

Bintang Brazil itu telah dikaitkan akan kembali ke Sepanyol bersama Real Madrid selepas dilaporkan gagal untuk menyesuaikan diri di Perancis sejak berhijrah daripada Barcelona, tahun lalu.

Bagaimanapun, Henrique menegaskan pemain berusia 26 tahun itu bukan untuk dijual dan masih terdapat desas-desus yang Real masih lagi berminat, sekali gus membuat PSG tidak senang duduk.

"Neymar akan bersama PSG musim depan," kata Henrique.

"Bapanya telah memberitahu perkara ini dua hari yang lalu. Dia gembira di Paris. Perancangannya adalah bermain dan menjaringkan gol."

Neymar akan terlepas aksi timbal balik Liga Juara-Juara berdepan Real di Parc des Princes, Rabu ini, selepas menjalani pembedahan kaki.