Neymar masih mampu meninggalkan impak besar dalam Piala Dunia kali ini, kata bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Ivan Rakitic.

Superstar Brazil itu memenangi perlumbaan untuk pulih daripada patah tulang metatarsal menjelang temasya Russia 2018 tapi prestasinya setakat ini tenggelam timbul.

Bagaimanapun, dia berjaya mengatasi kebuntuan jaringan – dia mengatasi mana-mana pemain lain dalam kejohanan ini dengan 16 percubaan – dengan golnya dalam masa kecederaan ketika menundukkan Costa Rica dalam Kumpulan E.

Dia buntu gol sekali lagi dalam kemenangan 2-0 ke atas Serbia yang memadankan Brazil dengan Mexico dalam pusingan 16 tapi Rakitic tidak ragu-ragu Neymar akan bangkit menepati jangkaan.

“Neymar adalah antara pemain kegemaran saya dalam dunia,” bintang Croatia itu memberitahu satu sidang media. “Saya sentiasa mahukan dia dalam pasukan saya.

"Dia mempunyai cara istimewa untuk bermain yang tidak semestinya sesuai dengan semua orang. Itu adalah gayanya dan dia menikmati bola sepaknya, maka dia mengambil banyak risiko.

“Dia antara yang terbaik di dunia dan semakin bagus dalam kejohanan ini. Anda dapat berasakan dia semakin kurang memikirkan kecederaannya dan saya pasti kita semua akan menikmati permainannya sepanjang kejohanan kali ini,” tambahnya.