Eddie Howe tetap berharap Kieran Trippier akan kembali bersama Newcastle United musim ini, tetapi menyatakan kecederaan bek kanan itu adalah serius.

Bulan lalu, Trippier menjadi ketibaan pertama di bawah asuhan Howe serta pemilikan baru di Newcastle, dan dia telah memainkan peranan penting dalam membantu The Magpies mengubah prestasi mereka.

Newcastle terkeluar daripada tiga tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melakar tiga kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Leeds United, Everton dan Aston Villa.

Pemain antarabangsa England itu turut menyumbangkan gol dalam dua perlawanan terakhir sebelum retak kaki kirinya dalam kemenangan ke atas Villa.

Isnin lalu, Newcastle mengesahkan pemain berusia 31 tahun itu patah tulang metatarsal kelimanya, namun tiada skala masa ditetapkan dalam proses pemulihannya.

Laporan awal mencadangkan Trippier memerlukan antara lapan dan 10 minggu untuk pulih sepenuhnya.




Menjelang pertembungan Newcastle dengan West Ham, malam ini, Howe mengesahkan Trippier telah berjaya melalui pembedahan.

“Dia menjalani pembedahan semalam dan ia berjalan lancar, jadi ia satu berita baik,” katanya memberitahu sidang akhbar.

"Kami menyasarkan untuk mendapatkannya kembali sebelum akhir musim ini, tetapi ia adalah kecederaan serius yang merupakan satu tamparan hebat buat kami."

Pelapisnya, Javier Manquillo, mengalami kecederaan buku lali ketika bertemu Villa, lantas Howe mengesahkan pemain Sepanyol itu juga akan terlepas perlawanan hujung minggu ini.