"Kami menyasarkan trofi juara Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang", ujar Amanda Staveley, pemilik bersama kelab Newcastle United.

Siapa sangka, setelah disajikan dengan pelbagai berita mengejutkan sepanjang tahun ini, satu lagi berita cukup gempar telah hadir.

Newcastle United – ketika ini tangga kedua terbawah EPL selepas berkesudahan di tangga ke-12 musim lalu -- mungkin bakal menjadi satu nama besar yang sama gah dengan Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, Newcastle yang juga dikenali dengan julukan The Magpies, The Toon dan The Geordies yang berumah di St James’ Park, sudah dibeli oleh satu konsortium dari Arab Saudi dengan harga £300 juta (RM1.8 bilion).






Yasir Al-Rumayyan kini adalah presiden eksekutif kelab itu dengan mengambil alih daripada pemilikan 14 tahun Mike Ashley – satu detik bersejarah yang diraikan oleh penyokong Newcastle dengan berpesta di jalanan.

Setelah pembelian ini selesai, Public Investment Fund (PIF) dari Arab Saudi memiliki 80 peratus daripada kelab tersebut manakala Amanda Staveley dan Reuben bersaudara membahagikan baki 20 peratus secara sama rata.

Apa yang lebih penting, Newcastle bakal menjadi kelab bola sepak terkaya di dunia disebabkan jumlah aset yang dimiliki oleh PIF adalah setinggi £320 bilion (RM1.8 trilion)!

Dana tersebut memiliki saham dalam pelbagai syarikat besar seantero dunia, antaranya Boeing, Facebook serta Uber.

Sebagai perbandingan, pemilik Manchester City, Sheikh Mansour, lelaki yang dilabelkan sebagai pemilik bola sepak terkaya di dunia sebelum ini, hanya bernilai setinggi £23.3 bilion (RM130 bilion).

Satu lagi perbandingan, pemilik PSG, Qatar Sports Investments memiliki aset sebanyak £220 bilion (1.2 trilion), nilai yang cukup tinggi, namun tetap tidak setinggi bakal pemilik baru Newcastle nanti.





Penyokong Newcastle meramalkan jendela perpindahan yang bakal dibuka semula pada bulan Januari 2022 nanti akan menyaksikan pergerakan cukup aktif daripada pihak kelab mereka dalam membeli pemain-pemain ternama sebagai langkah awal untuk merebut tempat dalam kalangan enam kelab teratas Liga Perdana Inggeris.

"Adakah kami mahu menjadi juara Liga Perdana Inggeris? Sudah pasti. Tetapi pembelian ini adalah satu proses perubahan yang memakan masa.

"Kami mahu menjulang trofi, tetapi trofi memerlukan pelaburan, kesabaran dan paling penting sekali, kerjasama semua pihak," ujar Staveley lagi.

Malangnya, bukan semua pihak bakal memperoleh keuntungan daripada pembelian ini.

Pengurus Newcastle ketika ini, Steve Bruce, diramalkan bakal menjadi mangsa pertama perubahan besar yang akan melanda kelab.

Menurut laporan Sportsmail, Newcastle bersedia untuk membayar pampasan £8 juta (RM45 juta) demi menamatkan kontraknya dan membuka ruang bagi pengurus baru yang lebih berkaliber untuk mengambil alih.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers, dan juga pengurus Rangers, bekas legenda Liverpool, Steven Gerrard, disebut-sebut sebagai dua pilihan utama untuk menggalas jawatan kosong yang bakal terbuka nanti.

Terkenang peristiwa 18 tahun lalu sewaktu Chelsea dibeli oleh Roman Abramovich, menerima suntikan dana yang teramat besar dan seterusnya membeli pemain-pemain terkenal dari seluruh dunia demi melaksanakan impian untuk menjadi antara nama paling besar dalam dunia bola sepak.

Dengan wang yang dibelanjakan secara bijak itu, Chelsea membawa masuk nama-nama gah seperti Didier Drogba, Arjen Robben, Petr Cech dan tidak lupa, Jose Mourinho sebagai pengurus lalu akhirnya berjaya menjulang trofi juara liga dalam tempoh dua tahun sahaja.

Bagaimana agaknya perubahan yang bakal dilalui oleh Newcastle nanti?


Kredit foto: MARCA