Newcastle United menandatangani bek kiri Tottenham, Danny Rose, sehingga akhir musim ini.

Rose, yang menyertai Tottenham pada 2007, menjadi pemain ketiga yang diikat Newcastle dalam jendela perpindahan bulan ini selepas meminjam Nabil Bentaleb -- bekas rakan sepasukannya di Spurs -- dan pemain sayap Inter, Valentino Lazaro.

Kelibat pemain antarabangsa England berusia 29 tahun itu amat diperlukan untuk mengukuhkan benteng Newcastle selepas Paul Dummett dan Jetro Willems mengalami kecederaan sehingga akhir musim ini.

Rose, yang telah membuat lebih 150 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Spurs, hanya beraksi sekali dalam kesebelasan utama sejak Oktober lalu sebelum terbabit dalam kekalahan 0-1 kepada Liverpool, 11 Januari lalu.

"Ia satu penghormatan untuk berada di sini. Saya sangat berterima kasih kerana pengurus telah membawa saya ke sini. Saya ingin membalas jasanya seberapa segera sebaik sahaja saya beraksi," katanya kepada NUFC TV.

"Saya sangat gembira kerana dapat datang ke sini dan berpeluang beraksi di depan peminat Newcastle.

"Newcastle merupakan salah sebuah kelab terbesar di England. Malam tadi, saya sempat bercakap dengan pengurus dan dia memberitahu saya terdapat 50,000 peminat ketika mereka menentang Oxford hujung minggu lalu.

"Semangat dan sokongan yang ditonjolkan peminat adalah sesuatu yang saya amat nanti-nantikan."




Editor: Shaiful Shamsudin