Manchester United perlu mula aktif dalam pasaran perpindahan pemain apabila hangat dikaitkan dengan pemain berpotensi seperti Frenkie de Jong dan Christopher Nkunku atau berisiko gagal untuk membina semula pasukan itu di bawah asuhan Erik ten Hag.

Mesej itu disampaikan oleh pemerhati bola sepak, Gary Neville, yang memberi amaran bahawa aktiviti perpindahan lewat hanya akan menjadikan tugas Ten Hag lebih sukar.

Ten Hag menghadapi tugas berat untuk membina semula pasukan itu selepas mewarisi skuad yang menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021-22 dengan pungutan mata terendah dalam era liga baru.

The Red Devils juga gagal menamatkan kempen liga dengan nota positif (sifar) dalam perbezaan gol buat kali pertama sejak musim 1989-90.

Paul Pogba bakal meninggalkan kelab sebaik kontraknya berakhir hujung bulan ini di samping Jesse Lingard dan Juan Mata.

Laporan mengaitkan United dengan ramai pemain seperti Nkunku, De Jong dan Christian Eriksen, sementara bekas bintang Ajax, Jurrien Timber dan Antony, juga disebut-sebut sebagai pilihan.

Yuran perpindahan pemain tengah West Ham, Declan Rice, dan bek tengah Villarreal, Pau Torres, mungkin kedengaran tidak masuk akal tetapi Neville berkata United perlu memulakan urusan pembelian pemain kerana jika tidak, tugas mereka akan bertambah sukar.

"Pasukan lain kelihatan lebih bersedia sementara United tidak," tulis Neville di Twitter.





"(Ten Hag) perlu mengumpul pemain-pemainnya dengan secepat mungkin untuk membentuk mereka. Kemasukan lewat hanya akan menyukarkannya. Ia akan berlaku tidak lama lagi!"

Ten Hag dijangka berdepan tempoh jendela perpindahan yang sibuk menjelang perlawanan sulung EPL musim 2022-23 apabila dijadual menerima kunjungan Brighton & Hove Albion pada 7 Ogos depan.

Ia akan menjadi perlawanan kompetitif pertama pengurus berbangsa Belanda itu menjalankan tanggungjawab mengemudi The Red Devils yang akan beraksi dalam perlawanan pembukaan di tempat sendiri untuk musim keenam berturut-turut.