Gary Neville percaya Manchester United akan mengumumkan mengenai pengurus baharu dalam masa terdekat berikutan laporan kelab itu telah bertemu dengan pengurus Ajax, Erik ten Hag.

The Red Devils sedang mencari pengganti tetap kepada Ole Gunnar Solskjaer sejak melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus secara sementara pada November lalu.

Pengurus kelahiran Belanda, Ten Hag, acap dikaitkan dengan jawatan itu selain pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino.

Justeru, Neville menjangkakan bekas kelabnya itu mungkin sudah berbincang dengan calon pilihan mereka.

“Laporan (mengatakan) Ten Hag telah ditemu bual minggu ini,” tulis bekas pemain pertahanan United itu di Twitter.

"Sekiranya temu bual rasmi telah bermula dan proses pelantikannya akan bermula, maka saya menjangkakan pengumumannya akan dibuat dalam masa seminggu lebih ini."




Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bakal melantik pengurus ketiga mereka dalam tempoh enam tahun selepas era Jose Mourinho dan Solskjaer.

Sejak memegang tampuk pengurusan, Rangnick memenangi sembilan daripada 20 perlawanan di Old Trafford tetapi ia belum cukup untuk kelab itu mengelak daripada mengakhiri musim ini dengan tangan kosong.

Sementara itu, Ten Hag, berada di landasan tepat untuk memimpin pasukan Eredivisie itu merangkul kejuaraan liga ketiga berturut-turut (musim 2019-20 dibatalkan kerana penularan COVID-19). Mereka hanya mengalami tiga kekalahan liga musim ini dan sedang mendahului PSV dengan dua mata.