BAYERN 3 PADERBORN 2

Manuel Neuer "lega" selepas Bayern Munich berjaya mengatasi Paderborn hasil dua jaringan daripada Robert Lewandowski.


Lewandowski meledak dua gol -- termasuk jaringan kemenangan pada minit ke-88 -- sekali gus membenarkan Bayern kekal di puncak liga dengan kemenangan 3-2, awal pagi tadi.

Bayern dua kali menafikan kelebihan satu jaringan Paderborn sebelum memastikan kemenangan di Allianz Arena.

Mengulas mengenai keputusan perlawanan, yang memastikan Bayern kekal mendahului RB Leipzig dalam saingan Bundesliga, penjaga gol, Neuer berkata, "Saya sangat lega!

"Tiga mata adalah sasaran kami. Ia sangat penting kerana kami tetap berusaha untuk mendapatkan kemenangan.

"Kami meraih kemenangan ini sebagai sepasukan. Pertukaran dalam taktikal permainan terpaksa dilakukan selepas terdapat pemain yang tidak dapat diturunkan."
Juara Jerman, Bayern, kini merekodkan sembilan perlawanan tanpa kalah dalam Bundesliga, kali terakhir pada 7 Disember lalu.

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini," kata ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick. "Paderborn memaksa kami untuk bekerja keras mendapatkan kemenangan. Kami telah melakukan segala yang termampu.

"Pujian harus diberikan kepada pasukan, mereka telah memastikan momentum dipamerkan dalam setiap gerakan dalam kemenangan ini."