Kapten Jerman Manuel Neuer mengatakan penting bagi pasukannya 'menunjuk contoh' setelah memenangi setiap tiga perlawanan pertama mereka di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Hansi Flick.

Die Mannschaft mudah meraih kemenangan 4-0 ke atas Iceland dalam aksi kelayakan Piala Dunia bagi mendahului Kumpulan J dengan kelebihan empat mata dengan berbaki empat perlawanan.

Kemenangan rutin di Reykjavik diikuti susulan mengatasi Liechtenstein dan Armenia, dengan skuad kendalian Flick menjaringkan 12 gol dan tidak dibolosi.

Flick menjadi pengendali kedua Jerman untuk menang tiga perlawanan tanpa dibolosi selepas Joachim Low.

Di sebalik peningkatan semangat yang dipamerkan Jerman, Neuer yakin kini satu penanda aras telah ditetapkan.

"Penting untuk kami memberikan contoh sekali lagi," katanya kepada RTL. "Kami mendominasi dan bertahan dengan baik, jadi tentu saja kami sangat berpuas hati.

"Selepas tiga perlawananini, kami sekarang ingin menetapkan satu tren kepada corak permainan Jerman. Anda telah melihat semua perlawanan ini menampilkan permainan kami yang meningkat naik.

"Sudah tentu perjalanan masih panjang, tetapi kami sudah mula memberikan perkara yang positif."