MALAYSIA 2 NEPAL 0

Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi turun naik dalam aksi pemanas badan ketika menjinakkan pasukan di ranking ke-161, Nepal, 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Pengendali negara, Tan Cheng Hoe, membariskan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Syafiq Ahmad untuk menunjangi barisan hadapan sambil Safawi Rasid, Syazwan Zainon, Halim Saari dan Akram Mahinan di bahagian tengah.

Di bahagian pertahanan, skuad negara meletakkan Shahrul Saad, Adam Nor Azlin, Matthew Davies dan La'Vere Corbin-Ong (membuat kemunculan pertama) manakala Farizal Marlias menjadi benteng terakhir merangkap ketua pasukan.

Malaysia mempamerkan aksi garang dalam tempoh 15 minit pertama permainan di atas padang licin berikutan hujan turun sebelum perlawanan.

Ketika permainan belum berusia seminit, skuad kebangsaan dihadiahkan sepakan percuma tetapi dirembat rendah oleh Safawi.

Pada minit kelima, jaringan pertama nyaris terhasil tetapi rembatan Syazwan yang menyambut tinggi hantaran lintang Shafiq, menggegar sebelah kanan tiang gol pelawat.

Usaha barisan negara untuk menembusi pintu gol lawan terus berliku dan kem tuan rumah hampir dikejutkan selepas bola yang ditumbuk Farizal singgah di depan Sujal Shrestha.

Tampanan Shrestha itu bergolek ke arah tiang untuk mencemaskan barisan pemain negara.

Malaysia seakan-akan mula terikut-ikut dengan rentak pihak lawan untuk menutup separuh masa pertama tanpa jaringan.

Bagaimanapun, kemasukan Akhyar Rashid selain Nor Azam Azih pada awal babak kedua menyaksikan Malaysia memenangi penalti yang disudahkan Safawi pada minit ke-51.

Skuad kebangsaan cuba menjana gerakan yang boleh menembusi gawang Nepal, namun usaha itu tidak kesampaian sehinggalah pada minit ke-82 apabila Shahrul Saad menanduk kemas sepakan percuma Nor Azam untuk menggandakan kedudukan Malaysia.

"Secara keseluruhannya, kami bermain dengan begitu baik tetapi tidak konsisten.

"Kami perlu tingkatkan prestasi di bahagian serangan.

"Bukan senang untuk pemain membentuk keserasian (dalam tempoh yang singkat). Pemain perlu tingkatkan kemampuan individu kerana kami sedar perlu tingkatkan prestasi menjelang pertemuan dengan Timor Leste," kata Cheng Hoe.

Malaysia akan bertemu Timor Leste dalam play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 pada Jumaat ini dan 11 Jun depan.