Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, pening kepala dalam memikirkan percaturan bagi membentuk benteng terbaik menjelang perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC malam esok.

Ia selepas tonggak importnya, Tim Heubach, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan manakala pemain tempatan, Sharul Nazeem Zulpakar, digantung perlawanan selepas dilayangkan kad kuning kedua ketika diikat Sri Pahang FC 2-2, Rabu lalu.

Seorang lagi pemain import, Safuwan Baharudin, pula masih 50-50 untuk diturunkan sejak mengalami kecederaan kepala ketika menentang Petaling Jaya City FC minggu lalu.

Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu adalah pada 9 Mac lalu di mana skuad Peteh berkenaan memalitkan kekalahan pertama The Red Giants musim ini.

"Kami berdepan beberapa kecederaan dan Afro (Sharul Nazeem) digantung perlawanan tetapi kesemua pemain buat saya rasa bahawa mereka boleh beramain dalam kesebelasan utama," kata Neitzel kepada Nadi Arena.

"Kami perlu mengubah beberapa posisi di mana ia sesuai dan berhasil sebelum ini dan saya berharap kesebelasan kami esok dapat melakukan tugas dengan baik.

"Kami sedar kami perlu bermula dengan baik dalam perlawanan ini," katanya.