Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, kecewa apabila pasukannya telepas tiga mata selepas diikat 2-2 oleh Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya semalam.

Bekas pemain Selangor, Amri Yahyah, membuka akaun jaringannya bersama Sang Badak menerusi penyudah kemasnya pada minit ke-31.

Pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun, kemudian kembali meletakkan Gergasi Merah di depan dalam babak kedua menerusi jaringan bergandanya, masing-masing pada minit ke-57 dan 72.

Bagaimanapun, pada ketika Selangor hampir pasti meraih tiga mata, bekas penyerang kebangsaan, Bobby Gonzales, memastikan Sabah tidak pulang dengan tangan kosong apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88.

"Sudah pasti jaringan itu sepatutnya memberikan kami kelebihan, saya tidak faham mengapa ia tidak menjadi seperti itu," kata Neitzel.

"Tetapi kami juga memiliki peluang lain yang amat terhidang, 100 peratus untuk dijaringkan tetapi ada pula yang terkena palang.

"Bagaimanapun, apa yang penting selepas perlawanan ini adalah keputusannya, jadi kita hanya perlu bercakap mengenai keputusannya.

"Tetapi saya perlu memikirkan mengenai prestasi kami kerana seperti yang saya katakan, aksi kami dalam babak pertama tidak bagus dan dalam babak kedua pula, saya agak yakin dengan prestasi pemain saya," katanya.