Jangan percaya dengan kelebihan di atas kertas, kata ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, yang tidak mahu terus berdepan kejutan daripada pasukan yang dianggap bukan pilihan.

Kekalahan mengejutkan kepada Penang FC baru baru ini cukup memberikan pengajaran buat pengendali berbangsa Jerman itu menjelang pertemuan dengan UiTM FC di gelanggang lawan Sabtu ini.

Baginya, perlawanan itu merupakan misi wajib menang setelah melakukan beberapa pemerhatian ke atas pemain dan keberkesanan mereka di posisi masing-masing sepanjang minggu ini.

"Adalah masuk akal untuk kami menilai kembali dan menganalisis perlawanan itu selepas kami tewas kepada mereka (Penang FC)," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Tetapi kami kini perlu fokus ke depan dan bagi kami, perlawanan hujung minggu ini sudah pasti perlu dimenangi.

"Kami memerlukan tiga mata dan tekanan bukan lagi satu persoalan," katanya.

Perlawanan itu juga akan menyaksikan pertembungan dua jurulatih dari Jerman memandangkan UiTM dilatih oleh rakan senegara Neitzel, Frank Bernhardt.

"Kami perlu berhati-hati dengan serangan balas. Pasukan mereka mempunyai kemahiran yang bagus. Mereka amat berdisiplin ketika mendapat bola dan bermain dengan peralihan yang pantas dengan pemain sayap yang amat laju.

"Kami perlu berhati-hati dan bermain dengan kawalan bola tersendiri dan mengurangkan sentuhan," tambahnya.