Walaupun perlawanan terpaksa diberhentikan akibat cuaca buruk di Kuala Terengganu, ia tidak sedikit pun memberi kesan dari segi persembahan dan konsentrasi pemain-pemain Terengganu dan Negeri Sembilan.

Ini satu sikap yang positif dan profesional apabila mereka sentiasa bersedia dalam situasi apa pun, pujian harus diberikan kepada pemain-pemain kedua-dua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi demi kejayaan pasukan dan penyokong mereka yang hadir ke stadium.

Dalam situasi itu sebagai pasukan pelawat Negeri Sembilan masih lagi mampu memberi saingan kepada Sang Penyu. Walaupun pada awalnya anak didik Nafuzi Zain berjaya mendominasi perlawanan tetapi pemain-pemain import mereka seperti Kpah Sherman dan Tcheche Kepre tidak dapat memanfaatkan peluang yang dimiliki sehingga perlawanan tamat.

Ini sudah tentu ia merugikan kerana dalam keadaan sekarang memandangkan kelab Pantai Timur itu memerlukan kemenangan untuk keluar dari zon pertengahan, seterusnya dapat memberi saingan serta tekanan pada pasukan pilihan.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin menikmati kelebihan terutama daripada segi emosi dan moral kerana dengan keputusan itu kini meletakkan skuad kendalian K Devan itu berada pada tangga kedua carta Liga Super.




Sudah tentu dengan kedudukan itu akan menambahkan lagi keyakinan pemain-pemain Negeri Sembilan untuk terus memberi aksi terbaik dalam perlawanan mendatang.

Semalam juga kita dapat melihat bagaimana kepimpinan yang dipamerkan ketua pasukan Hobin Jang Hobin, Zaquan Adha, yang mendorong rakan-rakannya untuk terus fokus hingga tamat perlawanan.

Ini yang pencinta-pencinta bola sepak negara harapkan untuk menyaksikan pasukan-pasukan yang dapat memberi saingan dan tekanan pada Johor Darul Ta’zim (JDT) khususnya.

Walaupun dari[ada segi realiti nampak sukar tetapi dalam bola sepak ia tidak mustahil, yang penting mereka ini terus bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan punya keinginan yang tinggi untuk bersaing dengan mempamerkan kualiti permainan bola sebenar demi kemenangan.

Pengurusan serta penyokong-penyokong Hobin Jang Hobin perlu banyak memainkan peranan terutama dalam mempromosikan pasukan untuk sama-sama memenuhkan ruang stadium di Paroi itu.

Ia bertujuan untuk memastikan Negeri Sembilan terus menjadi pasukan pencabar dalam saingan Liga Super musim ini.