Negeri Sembilan buat Selangor 'putih mata' di Stadium MBPJ

Ammar Hakim
Julai 31, 2022 15:03 MYT
Negeri Sembilan FC menampilkan kebangkitan luar biasa ketika menewaskan Selangor FC 3-2 dalam aksi Liga Super, di Stadium MBPJ sebentar tadi
Selepas tewas 2-0 di Kuantan dalam aksi terdahulu, Selangor meletakkan misi wajib menang bagi memastikan mereka kembali menemui rentak kemenangan.
Dan percaturan Michael Feichtenbeiner berhasil apabila mereka mendahului 2-0 menerusi jaringan Caion pada minit kelapan sebelum menggandakan jaringan sejurus perlawanan melewati 30 minit hasil gol Yazan Al-Arab.
Kelebihan tersebut tidak menjadi penghalang buat Negeri Sembilan apabila mereka terus cuba mendapatkan jaringan dalam separuh masa kedua.
Gustavo Almeida berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-66 sebelum menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat perlawanan.
Ketika Selangor berusaha untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata, Negeri Sembilan memiliki niat yang berbeza -- Sean Selvaraj berjaya mendapatkan bola sebelum melepaskan rembatan daripada luar kotak penalti sekaligus mengatasi Sam Sommerville bagi mendapatkan jaringan kemenangan pada minit ke-88.
#liga super #Selangor FC #Negeri Sembilan FC