Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melabel NBA sebagai satu 'organisasi politik' susulan protes ketidakadilan kaum di negara itu.

Tiga perlawanan NBA semalam terpasa ditunda dan tiga lagi perlawanan pada hari ini turut berkesudahan sama gara-gara pemain dalam liga itu melakukan protes susulan insiden pihak polis menembak Jacob Blake -- seorang lelaki kulit hitam -- di Wisconsin.

Ditanya mengenai reaksinya berkenaan protes itu, Trump mendakwa NBA sudah menjadi sebuah badan politik.

"Saya tidak tahu mengenai protes NBA. Saya tahu rating mereka amat buruk kerana sejujurnya orang ramai sudah bosan dengan NBA," katanya kepada wartawan.

"Saya tidak berapa tahu mengenai protes itu tetapi saya tahu rating mereka sudah menjadi amat buruk dan ia sesuatu yang malang.

"Mereka sudah menjadi organisasi politik dan ia bukan sesuatu yang baik buat sukan atau negara ini," katanya.