Selepas disingkirkan daripada kejohanan play-in gara-gara dua kekalahan, Golden State Warriors sedar masih ada tugas yang menanti mereka sekiranya mahu kembali bersaing merebut gelaran NBA.

Dan amat jelas, perkara paling penting yang perlu silakukan mereka adalah mengikat kontrak lanjutan bersama penjaring mata terbanyak liga musim ini, Stephen Curry -- sesuatu yang Pengurus Besar Golden State, Bob Myers, percaya dapat dilakukan menjelang musim depan.

Curry, 33, bagaimanapun, belum boleh meninggalkan pasukan itu secara ejen bebas sehingga hujung musim depan selepas menandatangani kontrak termahal US$201 juta (RM832.94 juta) selama lima tahun pada 2017.

"Saya tidak lihat sebarang alasan untuk tidak menjadi optimis," kata Myers dalam sidang media semalam.

"Dia kelihatan amat bermotivasi, kami juga bermotivasi.

"Saya boleh katakan yang saya agak yakin kami dapat menyelesaikannya," katanya.

Golden State boleh menyediakan kontrak lanjutan selama empat tahun bernilai US$215.4 juta (RM890.96 juta) buat juara NBA tiga kali dan MVP dua kali itu sebelum musim depan.

Curry akan berusia 38 tahun pada penghujung kesepakatan itu tetapi masih belum menunjukkan sebarang petanda kemerosotan apabila merekodkan purata jaringan tertinggi 32.0 mata sepanjang musim ini untuk menjadi pemain tertua merekodkan mata liga tertinggi sejak Michael Jordan melakukannya pada usia 35 tahun dalam musim 1997-98.