Pemain sayap Perak, Mohd Nazrin Nawi, mahu diberikan tempat dalam aksi menentang bekas pasukannya, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam aksi Liga Super di Larkin, esok.

"Jika saya diturunkan, saya akan memberikan persembahan terbaik untuk membantu Perak menang. Ini azam saya," ujarnya.

Musim lalu, Nazrin tidak diturunkan ketika bertemu JDT berikutan syarat perjanjian
perpindahan yang dimeterai di antara Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

"Kini saya tidak terikat lagi. Saya ingin sangat beraksi menentang JDT dan mahu turun untuk menonjolkan kemampuan. Hasrat saya ialah untuk membantu Perak mengutip mata daripada kunjungan ini bagi merapatkan jurang mata.

"JDT boleh ditumpaskan. Apa yang perlu kami lakukan ialah fokus terhadap permainan dan mengelak daripada melakukan kesilapan. Dalam masa yang sama, pemain-pemain Perak dalam keadaan terbaik dan bersemangat tinggi" katanya lagi.

Terkini, JDT mendahului saingan Liga Super dengan 29 mata. Perak kedua dengan 23 mata, diikuti Pahang, Terengganu, dan Kedah yang masing-masing mengumpul 21 mata.