"Pemain tempatan pun boleh jaringkan gol!" demikian reaksi pemain tengah Perak, Mohd Nazrin Nawi, yang turut menyumbang gol buat pasukannya untuk membantu melakar kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Kegembiraan di wajah Nazrin begitu jelas menggambarkan kelegaannya berjaya memberi kejayaan awal buat Perak dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia.

Selain mencetak jaringan menarik, Nazrin turut muncul sebagai satu-satunya pemain tempatan yang berjaya memecah dominasi pemain import, terutama membabitkan jaringan di Stadium Shah Alam.

"Bagi saya, bukan pemain import sahaja yang boleh menjaringkan gol. Yang penting kita perlu menggunakan setiap peluang yang ada.

"Saya bersyukur kerana dapat menjaringkan gol, saya sendiri tidak menyangka akan meledak gol malam ini. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan sepasukan kerana memberikan aksi 100 peratus," ujarnya.

Pemain kelahiran Kelantan ini juga tidak pernah menutup pintu untuk dia kembali menyarung jersi negara selepas kali terakhir membuat penampilan pada 2014 ketika skuad negara di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Tegasnya, dia berada pada prestasi terbaik untuk menambat hati pengendali baru Harimau Malaya, Nelo Vingada, dengan nama-nama terkini bagi kem latihan kebangsaan bakal diumumkan minggu depan.

"Bagi saya, semua pemain ingin beraksi bersama skuad kebangsaan. Jika peluang itu hadir semula, saya akan buat yang terbaik," tambahnya.