Pemain sayap Perak, Mohd Nazrin Nawi, mengalami kecederaan pangkal paha ketika sesi latihan di Ipoh semalam manakala rakan sepasukan, Mohd Hafiz Kamal, masih lagi dalam sesi pemulihan kecederaan ligamen sejak September lalu.

"Saya rasa kecederaan ini tidak begitu serius. Mungkin rawatan akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk pulih," kata Nazrin.

Sementara itu, Hafiz mungkin terpaksa menunggu sehingga April untuk berlatih bersama pasukan memandangkan dia masih lagi dalam proses pemulihan.

"Aktiviti sekarang ini cuma berehat dan membuat latihan kecil mengikut nasihat fisio. Sedih juga tidak dapat bersama rakan untuk berlatih," ujarnya.

Namun, kedua-dua bintang skuad The Bos Gaurus itu mengharapkan musim yang baik untuk pasukan dalam mengharungi Liga Malaysia tahun depan.

"Saya secara peribadi menyasarkan satu piala. Ini musim kedua saya bersama Perak. Pemain-pemain muda dalam skuad Perak saya lihat berpotensi dan lebih serasi. Saya bertambah yakin," kata Nazrin.

Hafiz pula nyata gembira dengan gabungan pemain yang dikekalkan bersama pemain baru.

"Tiada masalah antara pemain-pemain ini. Masing-masing faham tanggungjawab. Tentu ini petanda baik untuk Perak musim depan," ujarnya.