Ketua jurulatih Selangor, Muhd Nazliazmi Mohd Nasir, menafikan beliau akan terus menyisihkan khidmat Mohd Razman Roslan dan Fairuz Abdul Aziz, sebaliknya perlu bersikap adil kepada pemain muda yang memberikan aksi lebih baik dalam perlawanan terdahulu.

Bertandang ke Larkin bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) malam esok, Nazliazmi mengesahkan khidmat pertahanan muda berusia 20 tahun, Amirul Ashraf Ariffin, diketepikan kerana mengalami kecederaan hamstring.

Namun, ia tetap tidak membuka ruang kepada Razman dan Fairuz berada dalam kesebelasan utama, sebaliknya Nazliazmi memiliki perancangan lain.

Dua pemain muda, Ashmawi Yakin dan Amirul Haziq Rasmizal berkemungkinan mendapat peluang itu untuk bergandingan dengan pertahanan import, Willian Pacheco.

"Saya memberikan peluang kepada pemain-pemain muda yang sentiasa menampilkan konsistensi dalam sesi latihan. Ia tidak bermakna saya menyisihkan Fairuz dan Razman kerana bila-bila masa sahaja mereka akan dipanggil untuk membarisi kesebelasan utama.

"Buat masa ini, pemain-pemain muda harus membalas kepercayaan yang saya berikan dengan baik," katanya.

Nazliazmi juga makin bersemangat turun menghadapi JDT, tambahan pula mereka baru sahaja meraih tiga mata bertemu Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Biarpun kehilangan khidmat Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn yang bersama skuad B-23 Indonesia, Nazliazmi masih ada ramuan mencukupi untuk mengejutkan JDT yang belum pernah tewas di pentas Liga Super di Larkin sejak 2013.

"Kami telah membuktikannya ketika bertemu Negeri Sembilan. Walaupun mereka menampilkan tiga atau empat pemain import, kami hanya mempertaruhkan Pacheco dan Rufino.

"Tiada kekurangan besar yang dapat dilihat di situ dan pemain-pemain tempatan yang cukup baik masih ada dalam kem Selangor.

"Apa yang pasti, setiap pemain memberikan persembahan terbaik," katanya lagi.