Penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Keylor Navas, menegaskan bahawa dia tidak memendam dendam terhadap bekas kelabnya, Real Madrid, selepas bertembung dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Madrid mudah diratah 0-3 dalam pertemuan di Parc des Princes, semalam, untuk hanya memenangi dua daripada lima perlawanan pembukaan mereka dalam kesemua kejohanan musim ini.

Navas, 32, membuat kemunculan kedua buat PSG selepas menyertai juara Ligue 1 itu daripada Madrid dalam perjanjian hari terakhir jendela perpindahan yang menyaksikan Alphonse Areola pula menuju ke arah yang bertentangan.

Seorang lagi bekas pemain Madrid, Angel Di Maria, pula meledak dua gol untuk tuan rumah sebelum Thomas Meunier menambah gol terakhir pada penghujung babak kedua.

"Saya sangat gembira kerana kami menang, bukan disebabkan kami menewaskan Real Madrid," katanya.

"Rakan sepasukan saya telah berusaha keras dengan memberikan aksi yang terbaik dan kami menang, itu yang paling penting buat kami.

"Saya tidak menyimpan sebarang rasa tidak puas hati terhadap sesiapa di Real. Saya hanya ingin menikmati karier di kelab baru saya di sini. Semua orang sangat bermotivasi dan saya akan mempertahankan jersi baru saya seperti yang saya lakukan ketika bersama Madrid.

"Saya mahu melakar nama di sini. Kisah yang saya tinggalkan di Madrid sangat indah tetapi saya ingin gembira di sini, menikmatinya setiap saat dan membuatkan keluarga saya gembira, itu perkara paling utama."

Menurutnya, keluarga merupakan alasan utama dia memeterai kontrak selama empat tahun bersama barisan kendalian Thomas Tuchel itu, bukannya kerana kehilangan tempat utama kepada Thibaut Courtois.

Pemain antarabangsa Costa Rica itu mengharungi kempen selama lima musim di Santiago Bernabeu dengan memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya tidak meninggalkan Real Madrid kerana itu," katanya ketika ditanya mengenai persaingan dengan Courtois.

"Saya berpindah kerana keluarga dan saya fikir ini adalah pilihan terbaik buat kami. Saya dialu-alukan, seolah-olah saya akan berada di sini untuk jangka masa yang sangat lama.

"Saya hanya boleh menawarkan aksi terbaik untuk mempertahankan jersi ini dengan bekerja keras dan cuba memenangi perlawanan penting."