Penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas, berkata dia bertanggungjawab di atas kesilapan gol pertama Dortmund yang menyaksikan mereka sekadar seri di Signal Iduna Park.

Andre Schurrle meledak gol penyamaan pada akhir babak kedua perlawanan ketika mengikat Madrid 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo memberikan gol pendahuluan buat Madrid sebelum Dortmund menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Pierre-Emerick Aubameyang.

Navas menumbuk sepakan percuma Raphael Guerreiro ke arah pertahanan, Raphael Varane, yang memberikan peluang buat Aubameyang menjaringkan gol penyamaan.

"Pasukan telah memberikan usaha terbaik sepanjang permainan. Sememangnya ia terbukti, ia adalah kesilapan saya untuk gol pertama pasukan lawan," jelas Navas.

"Saya telah membuat keputusan yang salah dan ia telah menghukum pasukan. Kami akan cuba untuk memperbaiki kesilapan ini supaya ia tidak akan berlaku lagi.

"Saya telah beraksi dalam keadaan tenang sepanjang perlawanan walaupun terlepas aksi perlawanan selama berbulan-bulan. Saya bersyukur kerana dapat kembali beraksi dan membantu rakan sepasukan saya.

"Saya perlu bekerja keras dan mempertingkatkan lagi mutu permainan saya."

Navas melakukan penampilan pertamanya musim ini selepas mengalami kecederaan tumit.