Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, menerima padah apabila digantung satu perlawanan dengan serta merta sementara satu lagi penggantungan bergantung kepada disiplinnya.

Pemain berdarah kacukan itu dikesan menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin, ketika bertandang ke Ipoh, Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu, mengumumkan penggantungan itu selain denda sebanyak RM10,000 selepas jawatankuasa berkenaan bersidang hari ini.

Baljit dalam satu kenyataannya menjelaskan pemain JDT itu melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dalam perlawanan membabitkan Perak FC menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.

"Pemain itu itu dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin, apabila menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan menentang Perak FC itu.

"Jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod ini di mana pemain ini dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu dan baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima," katanya.


Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM Kali Kedua Bagi Penggal 2021-2025 Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam...

Posted by Football Association of Malaysia on Thursday, April 1, 2021


Baljit menjelaskan pemain itu digantung secara automatik bagi aksi Liga Super membabitkan JDT menentang Melaka United pada malam esok.

"Baki satu lagi perlawanan adalah ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini. Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa dengan serta-merta.

"Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hanya keputusan berkaitan hukuman denda dibenarkan untuk rayuan," katanya.