Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menilai kontrak ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt, yang tamat November depan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, berkata pengurusan pasukan akan membuat penilaian menyeluruh terhdap prestasi pengendali itu berdasarkan pencapaian skuad The Hawks dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.

“Sekiranya pasukan Kuala Lumpur layak ke saingan Piala Malaysia (awal bulan depan) atau Piala Cabaran, kami akan turut membuat penilaian terhadap prestasinya dan keputusan berhubung kontraknya akan dimaklumkan November nanti,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Nokman menegaskan sekiranya berlaku perubahan tampuk kepimpinan pada November nanti, pengurusan baharu akan membuat keputusan berhubung masa depan Yee Fatt.

KLFA bakal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada November bagi memilih ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2018-2022.

Untuk rekod, KLFA melantik Yee Fatt sebagai pengendali sementara pada Mac lalu susulan peletakan jawatan pengendali pasukan berkenaan, Yusri Che Lah, berikutan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Super.

Sementara itu, Nokman memaklumkan KLFA akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dalam tempoh terdekat bagi menentukan nasib sembilan ahli gabungannya yang digugurkan keahlian 13 Jun lalu.

Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, sebelum ini mengesahkan sembilan ahli gabungan KLFA telah digugurkan keahlian kerana membuat laporan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan KLFA mengadakan AGM untuk memilih ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2018-2022.

“Kami akan memberi tempoh sebulan kepada sembilan ahli gabungan berkenaan yang dipecat selepas mesyuarat berkenaan, dan sebarang keputusan akan dibuat dalam mesyuarat berkenaan,” tambah Nokman.

Dalam perkembangan berasingan, Nokman berharap pemain skuad Warga Kota dapat meraih keputusan positif dalam baki dua aksi Liga Super menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), dan Perak untuk kekal beraksi dalam saingan musim depan.

Kuala Lumpur kini berada dalam zon penyingkiran ke Liga Perdana musim depan setelah menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan 14 mata selepas 20 perlawanan.

-- BERNAMA