Kalidou Koulibaly menjadi buruan dengan nilai tawaran €100 juta (RM 474.8j) daripada sebuah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) kata Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis.

Pemain pertahanan Senegal itu membintangi Napoli yang memberi cabaran hebat kepada Juventus dalam pemburuan gelaran Serie A musim lalu, namun akhirnya mereka gagal.

Pemain pertahanan tengah itu yang beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan Piala Dunia 2018 untuk negaranya, telah lama menjadi sasaran Chelsea dan Manchester United.

Chelsea melantik bekas jurulatih Napoli, Maurizio Sarri, untuk menggantikan Antonio Conte dan telah menandatangani Jorginho dari Partenopei.

De Laurentiis, bagaimanapun, menegaskan Koulibaly tidak akan dibenarkan meninggalkan Napoli.

"Memang benar, kami mendapat tawaran bernilai RM 474.8j daripada sebuah kelab EPL ke atas Koulibaly tetapi kami tidak mengadakan rundingan penjualannya," kata De Laurentiis kepada Radio Kiss Kiss.

"Dia seorang yang sangat baik dan kami tidak pernah mempunyai masalah dengannya."

Napoli sedang mempertimbangkan Guillermo Ochoa atau Francesco Bardi sebagai pengganti kepada penjaga gol, Alex Meret, yang lengannya patah semasa menjalani sesi latihan, enam hari selepas menyertai kelab tersebut.

"Terdapat dua kemungkinan konkrit dalam pasaran," tambah De Laurentiis. "Kami mahu memberi Meret peluang untuk pulih tanpa memberinya tekanan. Dia seorang pemain muda dan kami tidak boleh memberinya tekanan."

Meret, pembelian yang dilaporkan bernilai €22j (RM104.4j) dari Udinese, dijangka menjadi penjaga gawang utama Napoli setelah Pepe Reina menyertai pesaing Serie A, AC Milan.