NAPOLI 2 ROMA 4

Pendahulu Serie A, Napoli, terlepas peluang untuk memulihkan kelebihan empat mata ke atas Juventus selepas tewas 4-2 kepada Roma di laman sendiri.


Selepas Juventus menewaskan Lazio 1-0, dengan Paulo Dybala menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan, skuad bimbingan Maurizio Sarri itu gagal mengekalkan rentak kemenangan apabila rebah di Stadio San Paolo.

Edin Dzeko menjaringkan dua gol buat Roma selepas mereka ketinggalan di awal permainan, menyaksikan mereka kini menghuni tangga ketiga liga di atas Lazio dan Inter, yang bakal berdepan AC Milan di San Siro, hari ini.

Lorenzo Insigne membuka jaringan buat tuan rumah selepas enam minit perlawanan berlangsung.

Bagaimanapun, Roma segera bangkit, Cengiz Under menafikan gol pembukaan Insigne seminit kemudian untuk menewaskan Pepe Reina.

Dzeko meletakkan Roma di depan selepas menanduk masuk hantaran Alessandro Florenzi, dan dia sekali lagi cemerlang melakukan rembatan pada minit ke-73 untuk memberikan keselesaan buat pasukan pelawat.

Diego Perotti mengambil peluang di atas kegagalan barisan pertahanan Napoli mengeluarkan bola daripada kotak penalti sebelum Dries Mertens menjaringkan gol sagu hati pada masa kecederaan.

Napoli kini hanya memiliki kelebihan satu mata ke atas Juventus, yang memiliki kelebihan satu perlawanan.