Napoli cadang namakan stadium sempena Maradona

Shaiful Shamsudin
November 27, 2020 01:55 MYT
Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, menyokong langkah untuk menamakan semula stadium keramat mereka bagi menghormati legenda Partenopei, Diego Maradona, susulan kematiannya semalam.
Maradona -- dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat -- meninggal dunia pada usia 60 tahun selepas disyaki terkena serangan jantung.
Sebagai pemenang Piala Dunia bersama Argentina, Maradona menikmati kejayaan yang luar biasa di Naples di mana dia mencetuskan inspirasi untuk Napoli meraih kejayaan Serie A buat julung kalinya pada 1986-87 dan 1989-90 -- sejak itu kelab Itali berkenaan masih belum dapat mengulangi kejayaan Scudetto tersebut.

?️?? pic.twitter.com/qaQtD44ZcK

— Official SSC Napoli (@sscnapoli) November 26, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pemain tengah menyerang itu menjadi idola di Serie A selepas angkat kaki daripada pergolakan di Barcelona.
Tatkala peminat Napoli dan penduduk Naples meratapi kematian Maradona, De Laurentiis mengesahkan bahawa Stadio San Paolo berkemungkinan akan dinamakan sempena ikon bola sepak kelahiran Argentina itu.
Dalam surat yang ditulis bagi mengenang jasa Maradona di laman sesawang rasmi Napoli, De Laurentiis berkata: "Anda meninggalkan kami dengan bukti hebat tentang apa yang dimaksudkan menjadi lelaki yang rapuh, kuat dan mempunyai cinta sejati yang pernah hidup dalam kalangan kita semua. Seorang juara yang unik dan tidak akan dapat ditandingi.
"Kelemahan anda, ketidaksempurnaan anda, kesalahan anda setaraf dengan kehebatan anda yang luar biasa sungguhpun tiada yang akan setanding dengan kisah legenda anda."
#Napoli #Serie A #Maradona #Diego