Napoli jadi pilihan Seri berbanding EPL

Penulis Jemputan
Jun 14, 2018 22:40 MYT
Jean Michael Seri lebih selesa memilih perpindahan ke Napoli berbanding menyahut cabaran ke Liga Perdana Inggeris (EPL), kata ejennya, Franklin Mala.
Pemain Ivory Coast itu menampilkan aksi memukau dalam saingan Ligue 1 bersama Nice selepas perpindahan ke Barcelona tahun lalu gagal diselesaikan.
Kekal di Nice, dia mencatat 43 penampilan dalam semua kejohanan, menjaringkan dua gol sambil melakukan 10 bantuan jaringan.
Dia kini dilihat bakal meninggalkan kelab Perancis itu dan Mala menyifatkan Napoli sebagai destinasi yang ideal buat pemain berusia 26 tahun itu walaupun turut dikaitkan dengan penghijrahan ke Chelsea.
"Kami berharap dapat menerima perkhabaran baik dari Naples dalam masa beberapa hari lagi," ujar Mala kepada CalcioNapoli24.
"Pihak Napoli ada menghubungi kami tetapi tiada sebarang langkah lanjut dilakukan. Kami bersedia untuk menemui mereka.
"Napoli berada dalam kedudukan terbaik kerana Seri lebih gembira untuk ke Naples berbanding tempat lain. Napoli harus mempercepatkan usaha mereka untuk menyelesaikan perpindahan ini."
"Nilai klausa perpindahan Seri berjumlah EUR40 juta (RM185 juta) bakal luput pada 15 Julai, jadi mereka harus membayarnya sebelum tarikh itu. Selepas 15 Julai, Nice boleh meminta sebarang jumlah.
"Dalam masa sama, terdapat dua pasukan daripada EPL yang cuba mendapatkan Seri tetapi saya tidak boleh mendedahkan mereka," tambahnya.
#Nice #Napoli #Ivory Coast #Ligue 1 #Jean Michael Seri