PDRM kini dalam fasa akhir rundingan mendapatkan bekas pemain import Terengganu dan Pahang, Issey Farran Nakajima, selain kembali menyenaraikan dua tonggak tempatan, Shahurain Abu Samah dan Fakrul Aiman Sidid.

Nakajima tetap berjaya menambat hati jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, walaupun pemain itu kurang menyerlah bersama Pahang, musim lalu.

Jelas Fauzi, Nakajima memiliki ciri seorang pemain yang beliau mahukan di bahagian serangan kerana memiliki kualiti sebagai perancang.

Bagaimanapun, semuanya bergantung sejauh mana kata sepakat mampu dicapai di antara pihak pengurusan dan Nakajima dalam soal kontrak.

"Nakajima memiliki corak permainan yang diterapkan PDRM sementara tanda harganya tidak begitu tinggi," kata Fauzi.

Bekas pemain import 2016, Andrezinho, juga berada dalam radar PDRM bagi melengkapkan kuota import bersama pasangan adik-beradik, Argzim dan Benjamin Redzovic.

Selain itu, Fauzi mengesahkan dua pemain bukan anggota polis, Shahurain dan Fakrul Aiman, akan bersama PDRM kerana beliau memerlukan pemain berpengalaman di posisi serangan.

"Fakrul tidak asing buat kami kerana beraksi untuk PDRM sebelum ini, kami sentiasa berhubung dengannya bagi meningkatkan mutu pasukan."