Kapten Terengganu, Issey Nakajima Farran, mengakui aksi berdepan T-Team, malam tadi, ternyata sukar mengatasi pertembungan dengan pasukan lain yang memiliki keupayaan lebih cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.

Terengganu sahkan kemaraan ke suku akhir Piala FA hasil kemenangan 1-0.

Pertembungan tersebut mencetuskan situasi sukar buat Nakajima yang turut melabelkan ia sebuah pertembungan yang aneh apabila melihat situasi penyokong yang terpaksa memberi sokongan tidak berbelah-bahagi buat Terengganu mahupun T-Team.

Dia sendiri terasa kekok apabila berhadapan pasukan yang lebih di kenali sebagai 'adik' buat pasukan Terengganu, namun diberi tanggungjawab memastikan kekalahan buat The Titans.

"Ia pertembungan adik-beradik dan walaupun saya penyokong kuat Terengganu, mentalitinya berbeza di sini di mana penonton memberi sokongan terhadap kedua-dua pasukan.

"Senario ini cukup berbeza dengan mana-mana perlawanan sebelum ini," jelas Nakajima.

Sementara itu, ketika jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, meluahkan rasa kecewa terhadap aksi pemain import Terengganu, Fedrico Falcone, Nakajima tampil membela rakan sepasukannya itu.

Kurang bersetuju dengan kenyataan Irfan, Nakajima menegaskan keserasian pemain memerlukan masa, dan dia yakin rakan seperjuangannya itu mampu tampil lebih berkesan di masa akan datang.

"Sebagai seorang penyerang, kamu perlu menjaringkan gol tetapi pada masa sama penting untuk terlibat dalam mencipta peluang.

"Pada saya, dia seorang yang bijak. Dia memenangi setiap tandukan, jika dibandingkan dengan tiga penyerang lain sebelum ini, saya percaya Falcone tampil lebih hebat dalam perebutan di udara,"

Sementara itu, pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui isu perintah keluar oleh pengadil terhadap Azalunullah Mohd Alias, penolong jurulatih, Mohd Azzahari Salim dan penolong pengurus, Mohd Sabri Abas, memberi kesan negatif ke atas pasukan.

Rahmad sendiri tidak menafikan anak buahnya dipengaruhi emosi sehingga mengganggu kelancaran permainan mereka, sekaligus meragut impian untuk mara ke peringkat seterusnya.

"Mentaliti dan emosi perlu berada di tahap sama. Apabila tahap emosi lebih tinggi hasilnya perlawanan yang menarik tidak dapt dihasilkan," jelas Rahmad.

Di kem Terengganu, Irfan turut tidak menyangka anak buahnya lebih selesa memilih aksi panjang.

Irfan juga tidak berselindung di atas kegagalan penyerang utamanya, Falcone, yang disifatkan gagal melunaskan tanggungjawab dengan baik.

"Saya kurang berpuas hati dengan aksi Falcone. Sepatutnya dia tonggak penyerang kami, bukan Issey atau pemain lain.

"Dia sepatutnya menjadi penjaring terbanyak Terengganu," katanya.