Pemain tengah AS Roma, Radja Nainggolan, tidak berminat untuk bertemu semula dengan jurulatih, Luciano Spalletti, selepas dikaitkan akan ke kelab pesaing dalam Serie A, Inter Milan.

Spalletti berpisah dengan Roma selepas kemenangan perlawanan terakhir musim ini menentang Genoa, Ahad lalu, dan jurulatih kelahiran Itali itu disebut-sebut bakal mengambil alih tugas di Inter.

Jangkaan pertukaran jurulatih berusia 58 tahun itu ke Inter mencetuskan spekulasi Nainggolan menjadi sasaran utama, namun pemain antarabangsa Belgium itu -- yang sebelum ini menolak untuk ke Chelsea -- gembira di Stadio Olimpico.

"Saya hampir pergi untuk percutian yang selayaknya," kata Nainggolan kepada Centro Suono Sport.

"Saya mahu kekal di Roma, saya selalu katakannya. Bagi saya mudah, dan saya sentiasa menunjukkannya. Saya menolak untuk ke Chelsea tahun lepas.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai Spalletti di Inter, saya cuba untuk membaca sedikit. Kami akan lihat nanti."

Nainggolan membuat 37 penampilan Serie A pada musim ini, menjaringkan 11 gol, dengan Roma menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang juara bertahan lima kali, Juventus.

Secara keseluruhan, Nainggolan menjaringkan 14 gol sepanjang tempoh kempen ini.