Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengesahkan bahawa projek menaik taraf Stadium Shah Alam akan bermula sebaik ia diluluskan dan dijangka siap seawal-awalnya pada 2024.

Dalam lawatannya ke Galeri Hall of Fame di stadium itu hari ini, Amirudin menyedari masih banyak proses baik pulih dan penambahbaikan yang diperlukan demi memastikan keselesaan setiap orang awam yang berkunjung ke venue berkenaan.

Tambahnya, projek membaik pulih stadium itu sepatutnya bermula lebih awal tetapi terpaksa ditangguhkan gara-gara pandemik COVID-19.

Amirudin berkata kepada Nadi Arena: "Saya menjangkakan ia akan bermula pada hujung tahun ini tetapi disebabkan pandemik (COVID-19), ia terpaksa ditunda.

"Penundaan itu sedikit-sebanyak telah mengganggu perancangan kami.

"Paling awal (projek siap) saya rasa adalah pada 2024."

Perkembangan itu bermakna pasukan Selangor FC perlu menunggu lebih lama untuk kembali menggunakan stadium keramat mereka itu dalam saingan Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, sudah menjangkakan perkara itu dan mengambil pendekatan bersabar agar skuad Gergasi Merah itu dapat memiliki gelanggang yang lebih selesa pada masa akan datang.

"Ia sebuah stadium yang amat penting, bukan sahaja buat pasukan Selangor tetapi bagi seluruh rakyat negeri Selangor.

"Jadi, kami berterima kasih atas sokongan daripada Kerajaan Negeri.

"Daripada segi kelewatan itu, saya rasa kami tiada masalah mengenainya kerana kami yakin keputusan ini dibuat demi hasil terbaik daripada pembinaan berkenaan.

"Kami juga tidak mahu jika ia disegerakan dan terlepas beberapa perkara penting, hasilnya akan menjadi tidak begitu baik dan pada akhirnya, ia perlu dilakukan semula.

"Bagi pihak Selangor, kami lebih gemar jika ia dilakukan dengan baik dan sementara menunggu Stadium Shah Alam siap, kami akan fokus kepada venue tuan rumah yang lain untuk dua atau tiga tahun ini," katanya.